SEREMBAN: Dua anggota tentera antara tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau dekat sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah di sebuah kediaman di Gemas, Tampin, minggu lepas.

Kedua-dua anggota tentera, Mohd Azizan Mohd Yusof, 28; dan Mohd Fanddi Kusnin, 35; serta seorang lagi yang bekerja sebagai buruh, Chean Boon Kok, 28; mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki berkenaan secara bersama didapati dalam milikan mereka dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 6.2 gram di ruang tamu sebuah rumah di Gemas kira-kira 3.30 pagi pada 12 Okt lepas.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Roslaili Alias.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Nov ini bagi laporan kimia.

-- BERNAMA