MELAKA: Dua beradik diselamatkan pegawai penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas didapati meraih simpati orang ramai dengan menyanyi di kaki lima sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, di sini, pada awal pagi Ahad.

Remaja lelaki berusia 13 dan 15 tahun dan masih bersekolah itu dipercayai mampu meraih pendapatan lumayan mencecah lebih RM10,000 sebulan apabila memperoleh wang sumbangan orang ramai sekitar RM300 hingga RM600 sehari terutama pada malam hujung minggu.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, berdasarkan maklumat awal kanak-kanak yang bersekolah di Bukit Katil itu dipercayai telah dieksploitasi ibunya berusia 40-an dan merupakan penerima bantuan bulanan JKM untuk menambahkan pendapatan sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, golongan bawah umur seperti ini tidak sewajarnya dibiarkan berada di jalanan sehingga lewat pagi dan mereka dipercayai akan menyanyi pelbagai jenis lagu termasuk lagu 80-an bermula jam 8.30 malam hingga 3 pagi.

Katanya, modus operandinya, wanita terbabit yang mendakwa mengalami masalah kesihatan akan membawa anak-anaknya di lokasi itu sebelum meninggalkan mereka untuk menyanyi dan hanya memerhatikan dari jauh.

"Kita akan bawa kedua-dua beradik ini ke pejabat JKM dan melihat kesesuaian sama ada akan ditempatkan di pusat kebajikan atau pengawasan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

"Sekiranya mereka ini perlu, demi masa depannya kita ambil dan meletakkan di rumah kebajikan yang bersesuaian agar dapat menjalani kehidupan normal," katanya kepada pemberita selepas operasi mengambil orang papa dan kanak-kanak yang mengemis di Banda Hilir di sini, pada pagi Ahad.

Tambah Zulkifli, selain itu enam individu lain turut diselamatkan dalam operasi itu termasuk seorang remaja bawah umur dipercayai dieksploitasi dengan menggunakan maskot dan membawa tabung untuk meraih pendapatan di Pulau Melaka.

Menurutnya, manakala lima gelandangan berusia sekitar 40-an didapati mengemis dan meminta sedekah di kawasan tumpuan ramai.

"Mereka ini disiasat di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dan mungkin akan menempatkan mereka di rumah penjagaan warga terbiar di Villa Harapan, Duyong, " katanya.

Jelasnya, kebanyakan mereka telah diberikan peringatan namun masih melakukan aktiviti mengemis seperti menyanyi, menjual tisu dan buah-buahan sekali gus memberi kegusaran kepada pelancong serta mencemarkan imej negeri.

"Kita juga akan menyiasat sama ada wujud dalang di sebalik eksploitasi kanak-kanak bawah umur," katanya. -Sinar Harian