AMPANG: Dua beradik kembar ditahan kerana disyaki memukul seorang lelaki di sebuah kedai serbaneka di Pandan Jaya dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 7.20 malam itu, mangsa sedang menurunkan barang dari sebuah lori, sebelum didatangi seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

"Suspek telah memarahi mangsa kerana laluannya terhalang, mangsa kemudian telah memaklumkan kepada suspek bahawa dia sedang menurunkan stok barang.

"Suspek tidak berpuas hati telah memaki dan memarahi mangsa sebelum bertindak memecahkan cermin sisi lori terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, suspek turut bertindak menolak mangsa di dalam kedai terbabit sebelum seorang lagi suspek tiba-tiba datang menyerangnya.

"Salah seorang suspek telah menyerang kepala dan tangan mangsa dengan alat penanda harga, kedua-dua suspek kemudian beredar meninggalkan lokasi kejadian.

"Akibat kejadian terbabit, mangsa cedera di kepala dan tangan telah mendapatkan rawatan Hospital Ampang. Mangsa telah menerima tiga jahitan di tangan kanan dan dua jahitan di tangan kiri," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya berjaya menahan salah seorang suspek di Projek Perumahan Rakyat Pinggiran Bukit Jalil pada jam 11.10 pagi Isnin.

"Kita turut merampas motosikal yang digunakan suspek, hasil soal siasat kita turut menahan seorang lagi suspek di Taman Puchong Utama pada jam 11.55 pagi," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang juga penjual ayam berusia 36 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek yakan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada Selasa untuk permohonan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta yang sama," jelas beliau. - Sinar Harian