IPOH: Sistem perekodan kokurikulum secara manual dimansuhkan sebagai langkah mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemansuhan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa profesion keguruan serta meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.
Menurutnya, pihak sekolah turut diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan sebelum maklumat kokurikulum murid dimasukkan ke dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Selain itu, saya juga telah mengarahkan supaya sistem PAJSK disepadukan dengan Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) bagi memastikan urusan lebih sistematik dan efisien.
“Hapus satu sistem, bermakna guru boleh fokus kepada kelas dan murid,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengumumkan 11 lagi inisiatif utama sebagai Ikhtiar Hari Guru yang memberi fokus kepada kebajikan dan pembangunan profesional warga pendidik.
Semua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih kukuh dengan sokongan menyeluruh kepada guru sebagai tunjang utama negara.
Antaranya, pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 akan diteruskan secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh literasi digital.
Fadhlina berkata, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia bagi jumlah pendidik bertauliah Google, melibatkan 60,000 pemegang sijil Tahap 1 dan 33,000 pemegang sijil Tahap 2.
“Kos bagi setiap guru ialah RM40 untuk Tahap 1 dan RM100 untuk Tahap 2, dan ini ditanggung sepenuhnya bagi memastikan guru terus kompeten dalam teknologi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, KPM memperkenalkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) khas kepada guru di kawasan pedalaman termasuk sekolah rintangan di bawwh ProKhas seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung serta sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 dan P3.
Selain itu katanya, Biasiswa Perguruan Persekutuan turut diperluas kepada pemimpin sekolah seperti guru besar, pengetua dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
"Dalam usaha memperkasa pembelajaran digital, KPM turut memperkenalkan Projek Network Offline Digital Environment (NODE) bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran diteruskan tanpa capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman.
"Sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn bagi memperkukuh pelaksanaan projek ini," katanya.
Pada masa sama Fadhlina berkata, kerajaan memperuntukkan RM169 juta untuk membekalkan peranti kepada semua sekolah sebagai persediaan pelaksanaan kurikulum baharu 2027.
Dari aspek kebajikan pula, tambahan RM100 juta disediakan bagi penyelenggaraan bilik guru, menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta, termasuk kemudahan seperti penghawa dingin dan peralatan sokongan.
“Kita mahu kesejahteraan guru benar-benar dimaknakan dalam persekitaran kerja yang selesa dan kondusif,” katanya.
Selain itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan kuarters guru untuk memastikan aspek keselamatan dan keselesaan tempat tinggal terus terjamin.
Dalam memperkasa pendidikan awal, KPM turut memperkenalkan Program PAKAT di peringkat prasekolah bagi menyemarakkan budaya membaca melibatkan kerjasama guru dan ibu bapa.
Fadhlina berkata, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan bahan bacaan tambahan untuk 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara.
Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM122.4 juta disalurkan terus ke sekolah bagi pelaksanaan program STEM dan TVET, sekali gus memberi ruang kepada guru melaksanakan program secara ‘hands-on’ di peringkat sekolah.
"Sebagai tanda penghargaan, Yayasan Guru Tun Hussein Onn turut menyediakan sumbangan RM1,000 kepada guru yang anak mereka memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025," kataya.
Sementara itu, dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, KPM turut mengumumkan potongan 50 peratus sewaan kantin sekolah bagi tempoh enam bulan pertama.
Fadhlina berkata, langkah itu diharap dapat membantu pengusaha mengekalkan harga makanan yang berpatutan dan berkualiti untuk warga sekolah.
Sambutan tahun ini bertemakan 'Guru Bitara Nadi Negara' menekankan peranan guru sebagai model atau 'bitara' utama dalam membentuk modal insan bermutu yang bakal menjadi tulang belakang ekonomi serta kestabilan sosial negara. - Sinar Harian