KUALA LUMPUR: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan SR7/1 Taman Serdang Raya, pagi tadi.

Komander Operasi Saharudin Abd Razak berkata panggilan kecemasan yang diterima pihaknya pada pukul 5.35 pagi itu berjaya menyelamatkan wanita warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 30, yang ketika itu mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

"Apabila tiba, kami mendapati terdapat dua mangsa terperangkap di tingkat atas rumah terbabit dan mengalami sesak nafas manakala dua lagi mangsa yang berada tingkat bawah berjaya keluar.

"Pihak bomba terpaksa memecahkan jeriji besi tingkap untuk membawa keluar kedua-dua mangsa yang hampir pengsan.

"Seterusnya tindakan pantas pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang memberikan bantuan oksigen berjaya menyelamatkan mangsa sebelum pasukan perubatan tiba," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Saharudin berkata kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kami masih menunggu laporan daripada forensik," katanya.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Tun Husein Onn telah dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman kebakaran rumah teres milik keluarga berkenaan yang terbakar lebih 70 peratus.

-- BERNAMA