Skip to main content

Malaysia

Isu video tular KLIA: Dua anggota polis saman Shuhaily

Mohd Shuhaily (kanan) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu. - Gambar fail/Astro AWANI
Mohd Shuhaily (kanan) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang didakwa dikasari dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Sepang terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dua anggota itu memfailkan saman pada 4 November menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates dan menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan kenyataan media, peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan, Kamal Hisham Ja'afar berkata, tindakan undang-undang itu susulan pertuduhan terhadap Shuhaily mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) pada 21 Oktober lalu.

Advertisement

Menurutnya, saman berkenaan mengemukakan empat kausa tindakan terhadap Shuhaily iaitu tort penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.

"Hal ini adalah dengan mengambil kira bahawa kejadian kekasaran tersebut adalah semata-mata suatu perbuatan Datuk Seri Shuhaily atas kapasiti dirinya sendiri tanpa melibatkan pihak Kerajaan Malaysia," katanya bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.

Advertisement

Dalam pada itu, kedua-dua plaintif turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia kerana membuat pendirian jelas dan tegas dalam kes berkenaan bahawa semua pihak tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Mereka juga percaya tindakan saman sivil itu merupakan saluran yang tepat untuk mendapatkan keadilan.

Pada 21 Oktober, Mohd Shuhaily didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter terminal 1 KLIA di sini jam 1.17 hingga 1.30 tengah hari pada 28 September.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement