LUMUT: Mayat nelayan yang hilang apabila dua bot berlanggar, kira-kira 3 batu nautika dari Jeti Kilang Tepung, Kampung Acheh, dekat sini, malam Rabu, ditemui pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mayat V. V Subramaniam, 50, ditemui nelayan tempatan di bawah Jambatan Bainun, kira-kira satu batu nautika dari tempat dia dilapokan jatuh.

Menurutnya, ketika memulakan operasi jam 8 pagi ini, komander operasi dimaklumkan mengenai penemuan itu dan terus ke lokasi berkenaan bersama dua anggota dan seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

“Anggota kemudiannya mengambil mangsa dan membawa ke pos kawalan bomba di Jeti Perikanan untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada Rabu, bot yang dinaiki mangsa dan dua anaknya karam selepas berlanggar dengan sebuah bot pemancing lain, kira-kira 3 batu nautika dari Jeti Kilang Tepung, Kampung Acheh, dekat sini.

Dua orang anak mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pihak JBPM Perak menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.25 malam.