KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperluas ruang kepada syarikat tempatan untuk menembusi segmen bernilai tinggi dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu, seiring peralihan negara ke arah ekonomi hijau.
Menerusi Program Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu yang julung kali dianjurkan, kira-kira 25 syarikat pembuatan dan perkhidmatan tempatan dipadankan dengan pemain utama industri bagi meneroka peluang kerjasama serta keperluan projek sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peralihan tenaga perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan industri domestik dan mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dalam negara.
“Peralihan tenaga Malaysia bukan hanya berkaitan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu, malah merupakan peluang untuk membina syarikat Malaysia yang lebih kukuh, membangunkan keupayaan khusus dan mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dalam negara.
“Di MIDA, kami mahu memastikan setiap pelaburan berkualiti yang kami mudahkan mewujudkan hubungan bermakna dengan industri domestik dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga boleh baharu yang lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
Program bertemakan “Strengthening Malaysia’s Renewable Energy Ecosystem with MIDA” itu berlangsung pada 8 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bersempena International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026.
Sesi pemadanan perniagaan berkenaan menghubungkan syarikat tempatan dengan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) dan TNB Renewables Sdn Bhd (TNB RE).
Menurut Sikh Shamsul, pendekatan itu membolehkan minat pelaburan diterjemahkan kepada peluang industri yang boleh disertai secara langsung oleh vendor, pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan.
“Dengan menghimpunkan pemain utama tenaga boleh baharu bersama vendor, pengilang , dan penyedia perkhidmatan Malaysia, kami mewujudkan laluan langsung untuk syarikat tempatan mengambil bahagian dalam projek sebenar dan peluang rantaian bekalan.
“Inilah caranya kita menterjemahkan minat pelaburan kepada hasil perindustrian yang nyata,” jelasnya.
Beliau berkata sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 menyediakan peluang besar kepada syarikat tempatan untuk beralih daripada pembekalan asas kepada aktiviti bernilai lebih tinggi.
Peluang itu merangkumi pengeluaran komponen, penyediaan perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal, pembangunan teknologi serta peluasan pasaran ke peringkat serantau dan global.
Pengarah Urusan TNB GENCO, Datuk Shahrir Abdul Latiff berkata kerjasama dengan MIDA menyediakan saluran untuk memadankan syarikat tempatan yang berkeupayaan dengan peluang dalam rangkaian projek tenaga boleh baharu TNB GENCO.
“Ketika TNB GENCO terus memperluas portfolio tenaga boleh baharu kami, termasuk pelaksanaan projek rintis Hibrid Hidro Solar Terapung di Tasik Kenyir, kami komited untuk membolehkan syarikat Malaysia berkembang seiring dengan peralihan ini.
“Kerjasama kami dengan MIDA menyediakan platform penting untuk menghubungkan pengilang, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan yang berkeupayaan dengan peluang nyata dalam rangkaian projek kami, di samping memperkukuh keupayaan domestik, menjana nilai ekonomi mampan serta meletakkan penyelesaian Malaysia untuk pasaran domestik dan serantau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TNB RE, Elmie Fairul Mashuri berkata manfaat daripada pembangunan tenaga boleh baharu perlu melangkaui pertambahan kapasiti penjanaan dengan memperluas penyertaan tempatan di sepanjang rantaian nilai.
“Ketika kami mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu, kami mahu setiap projek mencipta nilai berkekalan untuk Malaysia dengan memperdalam penyertaan tempatan di seluruh rantaian nilai tenaga boleh baharu.
“Ini bermakna mewujudkan peluang bermakna kepada kontraktor, pengilang, vendor dan penyedia perkhidmatan Malaysia untuk membina keupayaan, berkembang bersama rangkaian projek kami serta mengambil bahagian secara berperingkat dalam bidang bernilai lebih tinggi seperti kejuruteraan, teknologi, pembinaan, operasi dan perkhidmatan khusus,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan “Beyond Megawatts” yang dilaksanakan TNB RE turut memberi tumpuan kepada penyetempatan industri, pembangunan kemahiran, pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan berkualiti dan limpahan ekonomi yang lebih luas.
Program itu turut mengiktiraf Alliance MEP Sdn Bhd, Reactive Energy Sdn Bhd, Deltaspec (M) Sdn Bhd, P.E.S.B. Engineering Sdn Bhd serta SAA Engineering & Marine Sdn Bhd sebagai lima Juara Tempatan Tenaga Boleh Baharu berdasarkan keupayaan teknikal masing-masing.
Sejajar dengan agenda #InvestLokal, MIDA berperanan menghubungkan peluang pelaburan dengan keupayaan industri tempatan bagi memastikan pertumbuhan tenaga boleh baharu turut membangunkan syarikat dan kepakaran dalam negara.
Usaha berkenaan disokong langkah di bawah Belanjawan 2027, termasuk pelanjutan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) sehingga 31 Disember 2030.
Belanjawan itu turut merangkumi gabungan RM17 bilion bagi pembangunan infrastruktur grid dan tenaga serta dana pelaburan melibatkan TNB, UEM Lestra dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).