KUALA TERENGGANU: Dua daerah di negeri Terengganu mula dilanda banjir dan menyebabkan 45 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 11.30 pagi tadi.

Mereka adalah daripada 10 buah keluarga masing-masing dari daerah Setiu dan Kuala Nerus itu yang telah ditempatkan di tiga buah PPS.

Sementara itu seramai 24 mangsa daripada lima keluarga yang dipindahkan pada Khamis masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot.

Banjir yang memasuki hari kedua di negeri itu menyaksikan daerah Setiu menjadi daerah terbaharu yang dilanda bencana alam itu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, susulan itu sebanyak dua PPS telah diaktifkan pada jam 8.00 dan 9.30 pagi Jumaat bagi menempatkan kesemua mangsa.

Seramai 16 mangsa daripada empat keluarga telah dipindahkan ke Balai Raya Kampung Bari Besar pada jam 8 pagi tadi.

Manakala pada jam 9.30 pagi tadi seramai 21 lagi mangsa melibatkan lima keluarga pula telah ditempatkan Masjid  Chalok Kedai.

Terdahulu, hujan lebat yang melanda sejak Rabu menyaksikan Kuala Nerus menjadi daerah pertama dilanda banjir.

Bah yang melanda itu juga menyebabkan seramai 25 mangsa melibatkan lima keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Chalok di daerah Setiu telah melepasi paras bahaya dengan ketinggian 9.46 meter (m) (paras bahaya 8.40m) pada 11.30 pagi tadi.

Di Besut, stesen bacaan Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan kenaikan air setinggi 34.47m mengatasi paras amaran 34m dan di Setiu, stesen bacaan Sungai Setiu di Kampung Besut pula merekodkan kenaikan setinggi 17.43m mengatasi paras amaran 17m.

Selain itu, dua lagi sungai yang telah melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan di daerah Marang.