MALAYSIA
Dua dalang dadah ke Eropah tumpas, guna 'homestay' di Banting sebagai stor

Kedua-dua suspek menggunakan homestay yang disewa pada kadar RM180 sehari sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang warga China yang disyaki dalang utama sindiket pengedaran dadah ke Eropah ditahan polis dalam serbuan di sekitar Sepang, dekat sini Rabu lalu.
Ringkasan AI
- Dua lelaki, termasuk seorang warga China, ditahan polis di Sepang kerana disyaki dalang sindiket pengedaran dadah ke Eropah, dengan rampasan 75.51 kilogram ganja bernilai RM2.64 juta.
- Suspek menggunakan homestay sebagai stor penyimpanan dadah, dan siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak Januari lalu.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Dadah berkenaan boleh digunakan sehingga 151,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, siasatan mendapati kedua-dua suspek menggunakan homestay yang disewa pada kadar RM180 sehari sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.
"Suspek pertama ditahan di sebuah kedai kopi di Sepang kira-kira pukul 5.25 pagi, dan suspek kedua diberkas kira-kira 50 minit kemudian di sebuah rumah di Kota Warisan, juga di kawasan Sepang.
"Penahanan mereka membawa kepada serbuan ke sebuah homestay di Bukit Changgang, Banting, pada hari yang sama, di mana polis menemui ketulan dadah dipercayai bunga ganja," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mat Zani memberitahu, dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang bernilai lebih RM25,000.
Siasatan lanjut katanya, mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dan hasil ujian air kencing menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah.
Beliau memberitahu, semakan rekod jenayah mendapati tiada sebarang kesalahan lampau direkodkan terhadap mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pada masa sama, ujarnya, polis turut sedang menyiasat sama ada suspek warga China itu memasuki negara ini menggunakan dokumen perjalanan yang sah atau sebaliknya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami