Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman ke atas dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul ke atas jurugambar Utusan Malaysia.

Dua lelaki berumur 45 dan 53 tahun itu direman selama empat hari sehingga 22 Jun ini. Mereka mempunyai pertalian kekeluargaan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, Norida Mohd. Husin.

Dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kejadian mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan dan khianat sehingga menyebabkan kerugian dan kerosakan.

Dalam kejadian pada Rabu, jurufoto Utusan Malaysia, Irwan Majid cedera dipukul oleh dua ahli keluarga seorang tertuduh yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Kejadian berlaku semasa tertuduh, Zaruna Yusof, 43, dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas prosiding selesai. Jurugambar itu pada masa tersebut sedang merakamkan foto tertuduh.

Seorang daripada penyerang itu turut memecahkan kamera mangsa yang dihempaskan ke lantai
Irwan, 32, cedera di kepala dan siku manakala kameranya yang dirosakkan dianggar bernilai lebih RM18,000.

Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim dalam reaksinya kesal dengan apa yang berlaku dan menggesa pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya supaya kes seperti ini tidak berulang.