Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki, masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang dan pembantu jurukimpal dipercayai merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daish di Syria.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas mereka diusir oleh pihak berkuasa Turki semasa cuba menyusup masuk ke Syria.

"Bagi mengelirukan pihak berkuasa, kedua-dua suspek berlepas dari Butterworth, Pulau Pinang ke Bangkok menggunakan kereta api pada 23 Okt, sebelum menaiki pesawat untuk penerbangan Bangkok-Abu Dhabi-Istanbul.

"Penahanan kedua-dua suspek adalah hasil kejayaan pertukaran maklumat dan risikan pihak Cawangan Khas dengan pihak berkuasa Turki. Kedua-dua lelaki ini ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 28 Okt sejurus selepas mendarat di Istanbul dan diusir pulang ke Malaysia pada keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Khalid, kedua-dua mereka disyaki direkrut oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi untuk menyertai kumpulan pengganas Daish di Syria.

Muhammad Wanndy, seorang warga Malaysia yang menyertai Daish di Syria, aktif merekrut anggota baharu dalam kalangan rakyat di negara ini untuk kumpulan itu.

Muhammad Wanndy, yang dilaporkan turut merancang membunuh pemimpin negara dan pegawai tertinggi PDRM, dipercayai bertanggungjawab menyelaras rancangan penyusupan masuk kedua-dua lelaki itu ke Syria serta menyalurkan dana untuk membiayai kos penerbangan kedua-dua suspek.

Khalid berkata, kedua-dua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).