Bimbang ia mampu mengancam nelayan lain serta simpati dengan nasib seekor ular sawa yang sesat di lautan, seorang nelayan dari Kampung Sungai Chenaam di sini sanggup bertungkus lumus selama dua jam untuk menyelamatkannya.

Mohd Zainal Abd Hamid, 31, melihat kelibat ular berkenaan sekitar tengah hari Ahad ketika sedang memukat ikan berseorangan.

''Masa tu saya nampak kesian sebab badan ular tu ada luka-luka tapi saya beranikan diri untuk pergi lebih dekat.

''Sempat juga dua kali ular tu kejar saya tapi dalam takut-takut saya beranikan lagi pergi tolong,'' katanya di sini, hari ini.

Ular hanyut

Selepas hampir dua jam bertungkus-lumus, Mohd Zainal akhirnya berjaya menangkap ular sawa lebih tujuh meter berkenaan.

''Saya tak pernah tengok ular besar macam tu ada di laut tapi bila fikir takut nanti dilanggar bot lain, jadi saya selamatkan juga,'' ujarnya.
Ular hanyut

Ular berkenaan kemudian di bawa ke jeti nelayan Kampung Batas ban dan dilepaskan semula ke hutan berdekatan kampung.

''Saya lega dapat bebaskan ular berkenaan walaupun kulitnya boleh dijual tetapi saya kesian sebab badan dia penuh luka,'' katanya.

Rakaman video dan gambar Mohd Zainal menangkap ular sawa berkenaan menjadi tular apabila netizen memuat naik ke laman media sosial sejak malam tadi.