KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak berusia empat dan tujuh tahun dipercayai menjadi mangsa dera pengasuh mereka dalam kejadian di Seri Kembangan seperti dalam sebuah video yang tular Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata suspek seorang wanita tempatan berusia 24 tahun adalah kenalan kepada ibu kanak-kanak terbabit yang bekerja di Singapura dan mula mengasuh mereka sejak Mac tahun lepas.

"Berikutan video tular itu, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pengadu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan setelah menerima aduan orang awam mengenai kejadian kanak-kanak dipukul di rumah suspek.

"Setelah mendengar cerita pengadu, ibu kanak-kanak tersebut telah meminta bantuan seorang kawannya untuk mengambil mereka dari rumah pengasuh... dan setelah mereka diambil, terdapat kesan lebam dan kesan rotan di seluruh badan mangsa," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada hari yang sama untuk rawatan sebelum dibenarkan keluar semalam.

Anbalagan berkata polis telah menahan suspek sebelum dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Selangor juga telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kini memantau kes tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kes jenayah kekerasan atau penderaan diminta untuk segera membuat laporan di mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

-- BERNAMA