IPOH: Dua Ketua Jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bertukar ke IPK Kedah dalam rombakan yang dilakukan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkuatkuasa Isnin.

Mereka ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner G.S Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Komisioner Zakaria Abd. Rahman.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, SAC Suresh Kumar akan melaporkan diri sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah manakala ACP Zakaria sebagai Ketua Jabatan Pengurusan IPK yang sama.

"Ini adalah acara rasmi polis, pegawai masuk dan pegawai keluar, maka arahan pertukaran keluar dan kita terpaksa tukar dan mereka-mereka yang saya sebutkan tadi telahpun melaporkan kontinjen masing-masing,"  katanya ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di Ipoh pada Isnin.

Tempat Suresh Kumar akan digantikan oleh SAC Mohd Alwi Zainal Abidin manakala tempat Zakaria akan diambil alih oleh Superintendan Azizan Hassan.

Pada majlis itu turut diadakan upacara serah terima tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah antara ACP Ahmad Adnan Basri dan ACP Mohd Roy Suhaimy Sarif.