KOTA KINABALU: Dua lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' antara tahun 2015 hingga 2023.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Norsyafilah Pawawoi, 28, dan Zulkahar Dusing, 29, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Norsyafilah sedang menjalani hukuman penjara sejak 2016 manakala Zulkahar ditahan di Penjara Tawau sejak 2022 atas kesalahan berkaitan dadah.

Noor Hafizah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, 11 individu yang didakwa menganggotai Geng Upik pada 22 Jan lepas termasuk seorang ahli perniagaan Datuk Maslan Sani, 41, turut berada di Mahkamah Sesyen sama bagi sebutan semula kes.

Turut didakwa Rahman Burijin, 44, Jaisalfian Jaineh@Zaini, 45, Mohd Fauzie Rablin, 33, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, Nelson Yen Yee Chung, 51, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, Fazrul Bahar, 32, Alkan Abraham, 35, Mazlan Mahmud, 49 dan Mahathir Jibarail, 49.

Maslan dan Fazrul diwakili peguam Chin Tek Ming, Mohd Fauzie dan Mazlan diwakili peguam Sylvester Kuan manakala peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi mewakili Shahlan Sah, Mohd Faridzul dan peguam Muhamad Amirul Amin mewakili Jaisalfian

Alkan dan Rahman pula tidak diwakili peguam.

Noor Hafizah turut menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes itu dan tiada jaminan ditawarkan kepada mereka.

Pendakwaan bagi kes ini dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajah Mat Radzi.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili Yen telah memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi berhubung isu ikat jamin.

-- BERNAMA