Dua lelaki didenda RM20,000 ganggu rangkaian telekomunikasi guna peralatan tidak sah

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dan radas yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan rangkaian syarikat telekomunikasi.
Ringkasan AI
- Dua lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak sah, menjejaskan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.
- Pemandu e-hailing dan seorang lelaki mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan, serta diarah membayar denda atau menjalani hukuman penjara tiga bulan.
- Penggunaan radas tidak sah menyebabkan gangguan elektromagnetik besar, merosakkan kualiti perkhidmatan Maxis termasuk isyarat 2G, mesej spam, panggilan terputus, dan masalah akses Internet.
Dennelson didakwa telah menggunakan kelengkapan komunikasi, iaitu satu unit GSM Gateway yang tidak diperakui di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di dalam kereta di tepi Lebuhraya Kajang-Cheras, di hadapan pusat beli-belah, Cheras, di sini pukul 11.20 pagi pada 20 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dennelson turut didakwa menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik besar, menjadikan perkhidmatan rangkaian sebuah syarikat telekomunikasi di kawasan berkenaan terganggu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Loke didakwa bersubahat dengan Dennelson atas kesalahan terbabit yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nadzirah Idris memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira hubungan komunikasi ialah perkara penting pada masa ini.
"Kedua-dua tertuduh menggunakan radas GSM Gateway yang telah menyebabkan gangguan elektromagnetik besar menyebabkan kualiti perkhidmatan Maxis terganggu yang menyebabkan pengguna menerima isyarat 2G ketika berada di kawasan 4G, mesej spam, panggilan terputus semasa membuat panggilan serta pengguna juga tidak boleh melayari Internet," katanya.
Peguam Shameera Abdul Hamid yang mewakili dua lelaki itu memohon hukuman denda atas alasan kedua-dua anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sentiasa memberikan kerjasama baik dengan pihak MCMC.
"Pihak pembelaan juga memohon supaya hukuman pemenjaraan dikecualikan dan mohon hukuman denda kerana mereka masih bujang dan menanggung keluarga," kata peguam itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


