Naim Moktar, Mohd Iskandar ikrar beri khidmat terbaik kepada rakyat

Miha, berucap pada sidang media selepas diumumkan memenangi kerusi berkenaan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK di Dewan Sri Lamag hari ini. Turut hadir Naim Moktar. - Gambar Bernama
KINABATANGAN: Mohd Kurniawan Naim Moktar yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat di kawasan itu kerana telah memilih beliau sekali gus mempertahankan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu.
Ringkasan AI
- Mohd Kurniawan Naim Moktar mengucapkan penghargaan kepada penduduk Kinabatangan kerana memilihnya untuk mempertahankan kerusi BN, serta berikrar untuk bekerja membangun kawasan tersebut.
- Kemenangan Mohd Ismail Ayob di DUN Lamag dianggap sebagai mandat untuk meneruskan khidmat bakti dalam mewakili suara rakyat, dengan harapan menyatukan masyarakat setempat.
- Mohd Kurniawan menang dengan majoriti besar 14,214 undi di PRK Kinabatangan, sementara Mohd Ismail memperoleh 5,681 majoriti undi di DUN Lamag, berakhirkan pilihan raya berikutan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin.
"Terima kasih tidak terhingga kepada ibu saya, seluruh jentera BN dan jentera parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan Sabah. Paling saya hargai adalah seluruh masyarakat (Kinabatangan) yang telah meraikan demokrasi kita pada hari ini.
"Sudah semestinya, mandat ini datang dengan tanggungjawab besar dan janji saya pada semua adalah bekerja untuk masyarakat yang telah memilih saya. Insya-Allah, saya akan terus memberi khidmat bakti yang bermanfaat untuk rakyat di sini," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Mohd Ismail Ayob, 44, berkata kemenangannya sebagai mandat untuk membawa suara rakyat Lamag ke Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meneruskan khidmat bakti yang sebelum ini digerakkannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Terima kasih kepada seluruh rakyat Lamag yang tidak henti-henti menyokong. Mudah-mudahan berakhirnya pilihan raya pada hari ini, kita satukan kembali hubungan kita dan jadikan Lamag sebagai satu daerah untuk berpadu semula dalam kalangan kita," katanya.
Pada PRK Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim menang bergaya dengan majoriti besar 14,214 undi menewaskan dua pencabarnya, iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan dan calon Bebas Goldam Hamid.
Di DUN Lamag, Mohd Ismail memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
Dapatkan keputusan dan berita terkini PRK Kinabatangan dan PRK Lamag di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

