KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak petrol bersubsidi RON95 di sekitar Kangar.

Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar berkata kedua-dua lelaki tempatan berumur awal 30-an dan 50-an itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini kira-kira pukul 9.15 pagi semalam.

"Ketika serbuan, terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona sedang mengisi minyak RON95 ke dalam kereta itu manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Saga dilihat selesai mengisi minyak ke dalam tong plastik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazah berkata hasil pemeriksaan awal mendapati pemilik kereta Proton Persona telah menambah satu unit tangki pada bahagian belakang keretanya yang disyaki mengandungi petrol RON95.

"Selain itu pasukan serbuan juga menjumpai satu unit tong plastik di dalam kenderaan berkenaan dan tiga unit tong plastik dipercayai berisi minyak RON95 di dalam kereta jenis Proton Saga...hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek melakukan pembelian petrol bersubsidi itu secara tunai," katanya.

Beliau berkata hasil daripada dua tangkapan tersebut, KPDNHEP Perlis telah mengambil tindakan menyita kira-kira 373 liter minyak bersubsidi petrol RON95, empat unit tong plastik, satu unit tangki tambahan dan dua kereta jenis Proton Persona dan Proton Saga dianggarkan berjumlah RM20,804.65.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta," katanya.

Beliau berkata orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga akar umbi.

-- BERNAMA