KUALA TERENGGANU: Cubaan dua lelaki membawa dadah yang disorok dalam kenderaan mereka untuk melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) gagal selepas mereka diberkas pihak polis awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 31 tahun ltu ditahan dalam sekatan jalan raya Op Samseng Jalanan di susur masuk Tol Kuala Terengganu kira-kira jam 3 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu (JSPT), Superintendan Ismail Man berkata kedua-dua suspek yang menetap di Kuantan, Pahang itu ditahan ketika menaiki kereta jenis Proton Satria.

Katanya hasil  pemeriksaan ke atas kenderaan suspek pihaknya telah menemui pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 408.26 gram.

"Hasil saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail berkata kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sementara itu, dalam operasi yang sama juga pihaknya  turut menahan seorang lelaki yang berusia 34 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine.

"Setelah  ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya lagi.

Beliau berkata menerusi operasi itu sebanyak 150 keping saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik di atas pelbagai kesalahan.

Katanya dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 di atas kesalahan pengubahsuaian motosikal serta tidak mempunyai lesen memandu.