IPOH: Dua lelaki yang maut susulan kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Meru Raya, di sini, pagi tadi, merupakan adik beradik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, sebelum kejadian kedua-kedua mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah rakan di Kuala Kangsar dan menuju ke rumah mereka di Taman Desa Meru, di sini.

Katanya lagi, mangsa iaitu pemandu berusia 22 tahun merupakan penuntut di sebuah universiti tempatan manakala penumpang yang juga abangnya berusia 29 tahun bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Singapura.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.11 pagi tadi bahawa berlaku kemalangan di Jalan Jelapang-Chemor, berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki dua beradik itu hilang kawalan, lalu melanggar pembahagi bahu jalan kiri dan termasuk ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, saksi kejadian memberitahu nampak dengan jelas kemalangan itu dan mengesahkan tiada kenderaan lain di atas jalan raya pada ketika itu.

"Kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba. Kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya lagi.

Yahaya berkata, punca kemalangan disebabkan hilang kawalan sendiri dan terbabas jatuh ke dalam longkang dan proses bedah siasat sedang dijalankan.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu media melaporkan, dua lelaki maut setelah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kedua-dua mangsa itu didapati tersepit dan disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital.