Dua lelaki maut, manakala empat cedera dalam satu kejadian tembak menggunakan pistol di hadapan sebuah kelab malam, di Larkin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira dua pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah kelab berkenaan.

"Tembakan secara rambang ke premis tersebut terkena mangsa-mangsa yang pada masa itu berada dalam dan luar pintu masuk kelab malam itu," kata beliau kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Rusli berkata mereka yang maut di tempat kejadian merupakan penjaga kelab malam dan salah seorang pelanggan kelab itu, masing-masing berumur 23 dan 24 tahun.

Manakala empat lagi mangsa yang cedera akibat terkena serpihan kaca cermin, berusia antara 23 tahun hingga 31 tahun, kini dirawat di sebuah hospital di sini.

Berikutan kejadian itu, polis telah menahan lima lelaki berumur antara 20 tahun hingga 35 tahun untuk membantu siasatan.

Permohonan reman bagi kelima-lima lelaki itu akan dimohon hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Rusli berkata ketika kejadian terdapat lebih 50 orang pelanggan dan pekerja berada dalam kelab malam berkenaan.