Dua murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang di sini yang dilaporkan hilang pada petang semalam ditemui selamat selepas usaha mengesan mereka dilakukan termasuk menggunakan media sosial.

Wan Noraiman Haikal Wan Saifuddin Hafiz dan Muhammad Fakrullah Mohd Fahimie masing-masing berusia 10 tahun dari Kampung Pasir Panjang, sebelum itu dikesan tidak kembali selepas menyertai Hari Sukan Negara yang dianjurkan di sekolah mereka berkenaan selesai.

Bagaimanapun kedua-dua mereka yang dikatakan tersesat ditemui selamat kira-kira 8.00 malam tadi oleh seorang penduduk Kampung Batin di Seberang Takir.

Kedua dua kanak-kanak terbabit sebelum itu dikatakan ke sekolah untuk menyertai program sempena Hari Sukan Negara yang dianjurkan pihak sekolah bersama jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Pasir Panjang jam 8 pagi.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dikatakan tidak mengikuti program berkenaan sebaliknya keluar melalui laluan belakang sekolah menghala ke Kampung Seberang Takir sebelum tersesat.

Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Superintendan Suffuan Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penemuan dua kanak-kanak terbabit.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan selamat dan sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Menurut laporan Bernama, bapa seorang daripada mangsa Mohd Fahimie Mamat, 30, kehilangan anak sulungnya itu disedari kira-kira 6 petang selepas pihak sekolah menghubungi isterinya.

"Pihak sekolah menyangkakan anak saya berada di rumah namun ketika itu anak saya masih lagi belum pulang ke rumah...macam-macam perkara negatif bermain di fikiran saya mungkin anak diculik dan sebagainya.

"Bimbang dengan keselamatannya, saya bersama penduduk mencarinya di kawasan sekitar termasuk di kawasan Bukit Bayas kerana mereka sering naik ke kawasan bukit tersebut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPD) malam tadi.

Sementara itu Muhammad Fakrullah berkata dia bersama rakannya keluar menerusi pintu pagar belakang sekolah pada 8 pagi untuk menyaksikan perlumbaan Sprint Test di Litar Gong Badak.

Katanya mereka berdua berjalan kaki dengan berbekalkan wang RM3 untuk menuju ke lokasi perlumbaan tersebut.

"Bila kami sampai rupa-rupanya perlumbaan itu tiada, lalu kami berjalan untuk balik ke rumah tapi tidak jumpa jalan balik sehingga malam.

"Sepanjang tempoh itu kami hanya minum air sebelum orang kampung menemui kami, lantas menghantar kami pulang ke sekolah," katanya.