KUALA TERENGGANU: Industri ternakan di Terengganu mempunyai ruang potensi besar untuk diperluas, memandangkan kadar nisbah sara diri (SSR) masih belum mencapai tahap 100 peratus.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Anun Man berkata kadar SSR untuk komoditi daging ketika ini hanya sekitar 38.86 peratus, manakala kambing (6.7 peratus) dan ayam (76.56 peratus).
Bagaimanapun beliau berkata berdasarkan data komoditi ternakan utama pada tahun lepas, terdapat peningkatan ketara melibatkan ternakan lembu pedaging, biri-biri dan kambing pedaging.
“Mengikut data tahun lepas ternakan lembu pedaging sekitar 107,531 ekor, biri-biri (7,631 ekor), kambing tenusu (2,146 ekor) dan kambing pedaging (38,775 ekor). Jumlah ternakan untuk semua komoditi kecuali kambing tenusu, mencatatkan peningkatan antara 0.77 hingga 10.84 peratus berbanding 2024.
“Bagaimanapun jumlah ini belum cukup untuk menampung jumlah kegunaan negeri yang semakin meningkat disebabkan pertumbuhan penduduk dan industri makanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Anun berkata untuk mencapai pembangunan industri ternakan yang mampan, kesedaran terhadap kawalan serta pencegahan penyakit amat penting dalam memastikan keselamatan dan keterjaminan makanan di setiap rangkaian.
Beliau berkata setiap tahun lebih 20,000 ternakan ruminan diberi vaksin oleh JPV untuk membina imuniti bagi mencegah jangkitan penyakit, sekali gus mengurangkan penggunaan ubat-ubatan yang berbahaya dan residu dalam produk berasaskan ternakan.
Dr Anun berkata daripada aspek keselamatan makanan, pematuhan kepada pergerakan ternakan, vaksinasi dan pemeriksaan veterinar amat penting bagi memastikan sumber yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat.
“Seperti industri tanaman yang berdepan isu residu penggunaan pestisid, antibiotik dan ubatan terlarang dalam industri ternakan yang sangat mudah diperoleh dalam pasaran, juga amat membimbangkan.
“Pada 2025 analisa makmal terhadap daging dalam kes rampasan tanpa melalui prosedur sewajarnya oleh penguat kuasa JPV Terengganu mendapati, lebih 50 peratus sampel melebihi piawaian kandungan mikroorganisma dibenarkan, manakala 20 peratus lagi positif Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya.
Dr Anun berkata pada tahun ini, JPV menyediakan peruntukan sebanyak RM42,326 bagi Program Biosekuriti dan Sokongan Perternak, yang merangkumi pakej peralatan biosekuriti dan makanan tambahan ternakan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menggalakkan lebih ramai pemilik ladang berusaha mendapatkan pengiktirafan pensijilan Ladang Bebas Penyakit, bagi merebut pelbagai faedah yang disediakan JPV.
“Setakat ini sebanyak 53 ladang telah berjaya mendapat pengiktirafan ini, selepas ternakan mereka diisytihar bebas Brucellosis dan penyakit kuku dan mulut (FMD).
“Antara manfaat yang diperoleh melalui pensijilan ini ialah pemindahan ternakan lebih mudah tanpa ujian ulangan, pengktirafan ladang berkualiti tinggi dan pemasangan tag ternakan secara percuma oleh JPV,” katanya.
-- BERNAMA