PETALING JAYA: Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan yang baik kini semakin menjadi keutamaan rakyat Malaysia, terutama dalam mendepani gaya hidup moden yang pantas dan mencabar.
Berpegang kepada matlamat untuk membantu masyarakat Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna, syarikat insurans dan penyedia takaful AIA Malaysia menerusi program AIA Vitality terus menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat melalui pendekatan berasaskan sains dan ganjaran mingguan kepada pelanggannya.
Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chai Tze Siang berkata, program kesihatan dan kesejahteraan eksklusif untuk pelanggan AIA itu memberi ganjaran kepada ahli yang mengamalkan tabiat sihat secara konsisten.
“Program ini memberi ganjaran kepada pelanggan yang memilih gaya hidup sihat. Sihat di sini seperti bersenam, menjaga pemakanan, tidur berkualiti dan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.
“Jadi, program ini menawarkan ganjaran seperti pulangan tunai bagi premium insurans selain diskaun daripada rakan kerjasama seperti baucar tiket wayang GSC dan diskaun keahlian gimnasium,” katanya pada Karnival Ulang Tahun ke-10 AIA Vitality, di sini, pada Sabtu lepas.
Menurut beliau program AIA Vitality turut mengubah peranan syarikat itu daripada sekadar pembayar tuntutan insurans kepada rakan yang menyokong kesihatan pelanggan setiap hari.
Tambahnya, pendekatan itu selari dengan kepercayaan AIA terhadap pencegahan dan bukan hanya perlindungan semata-mata.
“Secara tradisional, syarikat insurans hanya berinteraksi dengan pelanggan apabila berlaku tuntutan insurans dan ia tidak mengekalkan hubungan yang baik.
“Tetapi dengan AIA Vitality, kami dapat berinteraksi dengan pelanggan setiap hari, menyokong dan memberi ganjaran kepada mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kami ingin semua orang hidup sihat kerana apabila masyarakat sihat, semua pihak akan mendapat manfaat,” jelasnya.
Sempena sambutan sedekad program itu, AIA Malaysia turut merancang pelbagai kempen istimewa, ganjaran dipertingkatkan serta siri aktiviti fizikal sepanjang tahun ini.
Mengulas lanjut Chai berkata, sambutan ulang tahun itu bukan sekadar meraikan pencapaian sepanjang 10 tahun lalu, tetapi juga komitmen berterusan AIA dalam membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.
Untuk maklumat lanjut mengenai AIA Vitality dan tawaran yang disediakan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi AIA Malaysia di https://www.aia.com.my/en/aia-vitality/member-exclusive/ten-years.html .