KEPALA BATAS: Polis menahan dua nelayan bersama 20.748 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM660,000 dalam serbuan di Kuala Bekah, Penaga di sini, Sabtu lepas.

Bertindak hasil maklumat dan risikan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 42 serta 50 tahun itu yang dipercayai berperanan sebagai "transporter"atau pengangkut dalam kereta berhampiran jeti di situ pada 7 petang.

"Semasa ditahan kedua-dua lelaki itu berada dalam kereta Toyota Harrier dipercayai baru sampai di kawasan tersebut dan pemeriksaan dalam kenderaan itu polis menemui 20 bungkusan "teh cina" dalam sebuah beg.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan "teh cina" itu mengandungi 20.748 kg syabu bernilai RM660,000 yang dipercayai akan dibawa ke Indonesia melalui jeti nelayan di Kuala Bekah menerusi laluan laut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya dua lelaki itu akan mengambil bekalan syabu tersebut dari Kuala Lumpur sebelum dibawa dengan menggunakan bot nelayan dan diserahkan kepada wakil sindiket di Indonesia di perairan antarabangsa.

Mohd Asri berkata modus operandi mereka ialah membawa bekalan dadah itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka mendapat upah RM4,000 seorang bagi sekilogram syabu yang dihantar.

Beliau berkata polis percaya mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket pengedaran dadah dalam negara dan antarabangsa, serta siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini.

"Kedua-dua lelaki itu yang baru tiba di kawasan jeti merancang untuk ke perairan antarabangsa bagi menghantar bekalan syabu tersebut namun tidak sempat kerana ditahan pihak polis, suspek berusia 42 tahun tersebut baru sahaja terlibat dalam kegiatan tersebut manakala seorang lagi adalah dalang utama.

"Pasaran syabu mereka adalah untuk luar negara dan dua suspek hidup mewah kerana mampu memperoleh upah sehingga puluhan ribu ringgit bagi setiap penghantaran ke luar negara," katanya.

Katanya ujian air kencing mendapati dua lelaki itu positif dadah dan lelaki berusia 42 tahun tersebut mempunyai satu rekod lampau berkaitan narkotik.

Mohd Asri berkata kedua-dua suspek direman enam hari hingga 15 Sept ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ekoran penahanan dua lelaki itu, polis menyita sebuah kereta dan sebuah bot nelayan yang kesemuanya bernilai RM200,000," katanya dan menambah dadah dirampas boleh digunakan oleh 103,740 penagih.

-- BERNAMA