KOTA BHARU: Dua pelajar madrasah Al Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh yang hilang ketika mandi di Sungai Gong Dermin, Pasir Tumboh, petang semalam ditemukan lemas pagi ini.

Mayat kedua dua pelajar berkenaan ditemukan terapung dan dalam keadaan berpelukan sekitar jam 8.40 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner ACP Mohd Rosdi Daud, mayat Muhammad Zul Hafiz  Azman, 18, dan Luqman Hakim  Azman, 16, ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Kedua-dua mayat ditemui terapung di permukaan air pada jam 8.40 pagi tadi dengan jarak 20 meter daripada tempat mangsa turun ke sungai.

"Kedua-dua mangsa lemas ditemui berpelukan antara satu sama lain" kata Mohd Rosdi dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang semalam, kedua-dua mangsa keluar bersama sembilan rakan yang lain tanpa kebenaran pengurusan Pondok Terusan Limbat (Madrasah Al Diniah Bakriah).

"Kedua-dua mangsa dipercayai telah mandi di Sungai Gong Dermin bersama rakan-rakannya. Kedua-dua mangsa dipercayai pertama kali mandi di kawasan kejadian.

"Bagaimana pun salah seorang pelajar berkenaan hanyut dan tenggelam manakala seorang lagi tenggelam di kawasan berdekatan dengan tempat beliau mandi," katanya lagi.

Lebih 25 anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, polis dan agensi berkaitan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak malam tadi.

Kedua-dua jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.