ALOR GAJAH: Tiga lelaki termasuk dua pelajar sekolah ditahan disyaki menipu sebagai tahanan polis, membebaskan tahanan serta menyamar sebagai anggota polis dengan melibatkan kerugian berjumlah RM25,000 pada November lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 15 tahun dan bersekolah di sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah di sini, telah menipu dirinya ditahan polis dan berkomplot dengan dua lagi rakannya berusia 17 dan 29 tahun yang menyamar sebagai anggota polis.

"Pelajar berusia 15 tahun itu merupakan anak tunggal dan tidak pulang ke rumah selama dua hari sejak 25 Nov lepas sehingga menyebabkan ibunya bertindak berjumpa dengan lelaki berusia 29 tahun terbabit pada 27 Nov untuk mengetahui tentang anaknya.

"Wanita itu dimaklumkan oleh lelaki itu yang menyamar sebagai polis bahawa anaknya telah ditahan dan memerlukan sejumlah wang untuk pembebasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua hari kemudian, wanita berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu klinik itu telah mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 daripada Tabung Haji Cawangan Masjid Tanah dan menyerahkannya pada hari sama kepada lelaki berusia 29 tahun itu dan rakan lelakinya yang berusia 17 tahun di Pekan Masjid Tanah.

Arshad berkata anak wanita terbabit pulang ke rumah pada 30 Nov lepas dan wanita itu dengan dibantu adik iparnya kemudian membuat semakan di Balai Polis Seremban, pada 1 Dis lepas berhubung dengan tangkapan anaknya, namun disahkan tiada tangkapan dilakukan terhadap anaknya.

Beliau berkata wanita terbabit yang menyedari ditipu anak dan dua rakan anaknya itu membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 2 Dis lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan ketiga-tiganya akan dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada esok.

-- BERNAMA