MALAYSIA
Dua pemilik syarikat direman, minta rasuah RM800,000 bantu urus dapatkan tanah di Kuching

Siasatan mendapati, mereka disyaki bersubahat sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah Kuching bagi tujuan pembangunan komersial, sedangkan permohonan itu tidak pernah wujud. - Sumber foto SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman dua pemilk syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM800,000 daripada seorang individu.
Perbuatan itu sebagai balasan membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah Kuching dari agensi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 8 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak, memetik kenyataan SPRM, pada Selasa.
Siasatan awal mendapati, mereka disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah Kuching bagi tujuan pembangunan komersial, sedangkan permohonan itu tidak pernah wujud, tambah kenyataan itu. Perintah reman enam hari sehingga 11 Ogos ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Kuching pada Selasa.
Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2020 hingga 2021.
Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami