BISNES
Bursa Malaysia ditutup paras tertinggi intra hari susulan aktiviti belian saham harga rendah

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 11.66 mata atau 0.76 peratus untuk ditutup kepada 1,538.64 daripada 1,526.98 ketika ditutup pada Isnin. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Selasa susulan aktiviti pembelian saham pada harga rendah menerusi saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah prestasi kukuh pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 11.66 mata atau 0.76 peratus untuk ditutup kepada 1,538.64 daripada 1,526.98 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka pada paras terendah iaitu 1,528.63 mencapai paras tertinggi 1,538.64 pada hari dagangan berkenaan.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh berada dalam keadaan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 533 berbanding 479 manakala 505 kaunter tidak berubah serta 973 tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.Jumlah dagangan menokok kepada 2.87 bilion unit bernilai RM2.75 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM1.94 bilion pada Isnin.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran tempatan dilihat semakin stabil sekali gus memberikan sokongan jangka pendek terhadap penilaian ekuiti dan minat risiko seiring dengan dasar monetari global yang semakin longgar secara beransur-ansur dan ketegangan geopolitik yang semakin reda.
"Jangkaan yang semakin meningkat terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengukuhkan persekitaran yang menyokong pengambilan risiko terutamanya memberi manfaat kepada sektor yang mempunyai sensitiviti terhadap turun naik kadar faedah.
"Selain itu, pasaran ekuiti serantau ditutup kebanyakannya lebih tinggi disokong oleh sentimen geopolitik yang semakin baik dan isyarat dasar dari China," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional melonjak sebanyak 12 sen masing-masing kepada RM9.66 dan RM13.28, IHH Healthcare naik 15 sen kepada RM6.85 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing kekal pada harga RM4.24 dan RM6.75.
Dalam kalangan saham paling cergas, TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen, Pharmaniaga meningkat setengah sen kepada 18.5 sen manakala Top Glove merosot dua sen kepada 63.5 sen, Tanco dan Sinaran Advance Group masing-masing turun setengah sen kepada 81.5 sen dan 1.5 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas mengukuh sebanyak 69.15 mata kepada 11,541.97, Indeks FBMT 100 naik 73.06 mata kepada 11,306.66 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 75.79 mata kepada 11,569.00.
Indeks FBM 70 meningkat 52.49 mata kepada 16,666.75 manakala Indeks FBM ACE berkembang sedikit sebanyak 2.09 mata kepada 4,631.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 83.90 mata kepada 17,448.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.38 mata kepada 159.40, Indeks Tenaga bertambah 0.61 mata kepada 740.40 manakala Indeks Perladangan susut 7.10 mata kepada 7,363.35.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.87 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM1.73 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 703.81 juta unit bernilai RM96.19 juta daripada 824.19 juta unit bernilai RM117.88 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 300.21 juta unit bernilai RM137.66 juta daripada 290.27 juta unit bernilai RM97.82 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 233.47 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (199.48 juta), pembinaan (144.60 juta), teknologi (297.15 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (142.23 juta), hartanah (257.80 juta), perladangan (12.96 juta), REIT (23.35 juta), dana tertutup (2,700), tenaga (203.88 juta), penjagaan kesihatan (213.97 juta), telekomunikasi dan media (39.58 juta), pengangkutan dan logistik (32.64 juta), utiliti (69.03 juta) serta amanah perniagaan (58,900).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami