KAJANG: Polis menahan dua pengasuh sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Semenyih, di sini kerana dipercayai mendera dan mengabaikan seorang bayi autistik berusia 11 bulan sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut, ketika di bawah jagaan mereka. 

Kedua-dua wanita tempatan yang berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang, pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, penahanan itu adalah susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa pada 27 Januari lalu, kira-kira pukul 7.50 malam.

Dalam laporan itu, beliau memberitahu, ketika wanita berusia 35 tahun mengambil anaknya di taska berkenaan, dia menemui beberapa kesan lebam pada dahi anak perempuannya, namun tidak dapat dipastikan puncanya.

"Semakan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu, polis mendapati bayi perempuan autistik berkenaan terjatuh dari kerusinya.

"Malah pengadu turut dikatakan menerima beberapa rakaman video daripada seorang individu tidak dikenali yang memaparkan mangsa didera dan diabaikan pengasuh," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mohd Zaid menambah, mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan fizikal dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian depan.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung pegawai penyiasat Insepektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Video penderaan itu juga ditularkan menerusi laman Facebook oleh ibu mangsa pada 8 Februari lalu.