SEREMBAN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengkomersialkan lebih daripada 200 teknologi melibatkan pelbagai inovasi dalam sektor sawit dan agrikomoditi negara setakat ini, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan serta kemajuan sektor berkenaan.
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata teknologi itu merangkumi aspek mekanisasi dan automasi ladang, bioteknologi dan genomik sawit, perlindungan tanaman berasaskan sains, teknologi pemprosesan dan perkilangan, produk tambah nilai dan oleokimia serta sistem digital dan platform pengurusan ladang.
Beliau berkata ini termasuk mengesan proses pemasakan buah menggunakan peranti dron selain penggunaan DNA bagi mengesan keadaan pokok.
“Sebahagian teknologi ini telah digunakan oleh industri. Oleh itu, MPOB membuka peluang kepada syarikat dan industri terlibat untuk memanfaatkan teknologi, sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selama dua hari yang bertemakan ‘Revolutionising Field Operations: Automation, Digitalisation, AI and Future Ready Technologies’ di sini.
Bagi tahun ini, Ahmad Parveez berkata MPOB akan memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) yang tidak hanya tertumpu kepada sektor perladangan, malah melibatkan pembangunan produk makanan dan aplikasi industri berasaskan sawit.
“Ini termasuk mayonis berasaskan sawit yang sesuai untuk golongan vegan (pemakan sayur dan buah) kerana tidak mengandungi telur atau produk haiwan.
“Kita juga mempunyai teknologi makanan berasaskan minyak sawit merah selain teknologi oleokimia seperti minyak pelincir untuk pusat data,” katanya.
Beliau berkata penyelidikan MPOB kini semakin diperkukuh dengan tumpuan kepada pembangunan teknologi yang menyokong operasi lapangan berasaskan data termasuk penggunaan teknologi Internet Benda (IoT), dron dan Kecerdasan Buatan (AI).
Teknologi berkenaan bukan hanya meningkatkan produktiviti, tetapi turut mengawal kualiti pengeluaran yang konsisten, mengoptimumkan penggunaan input serta memperkukuh ketelusan rantaian bekalan.
Mengulas acara hari ini, beliau berkata konvensyen itu menjadi platform membincangkan penyelesaian teknologi baharu dan inovasi terkini.
Pada masa sama, ini dapat memperkukuh jaringan profesional serta pertukaran idea dalam merangka strategi nasional memodenkan operasi lapangan yang merentasi seluruh sektor agrokomoditi.
-- BERNAMA