IPOH: Dua penjawat awam antara sembilan yang ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah parti liar yang diadakan di sebuah kondominium di sini pada awal pagi tadi.

Serbuan Op Noda pada kira-kira jam 1.10 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 20 hingga 47 tahun.

Katanya selain dua penjawat awam, tiga daripada mereka merupakan pekerja swasta, dua bekerja sendiri sementara dua lagi merupakan penganggur.

Ujar beliau, tiada sebarang dadah ditemui di kondominium yang disewa oleh salah seorang daripada yang ditahan ketika serbuan dilakukan.

Namun Mior Faridalathrash berkata hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati enam dikesan positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Daripada sembilan yang ditahan, enam didapati positif dadah yang mana terdiri daripada lima orang lelaki dan seorang wanita. Justeru kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada masa sama, kesemua sembilan suspek turut dikompaun mengikut Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) dengan nilai keseluruhan RM18,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Oleh itu Mior Faridalathrash mengingatkan agar semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan penularan COVID-19 dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Polis Perak terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini khasnya di negeri perak serta memastikan keselamatan masyarakat terpelihara,” ujar beliau.