Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Tamil Nadu teroka kerjasama bidang arkib dan dokumentasi warisan

FB Yuneswaran Ramaraj
Yuneswaran berkata lawatan ke institusi arkib rasmi Kerajaan Tamil Nadu itu memberi peluang untuk memahami peranan arkib sebagai pusat ilmu, memori negara dan khazanah warisan sesuatu masyarakat. - Foto Facebook Yuneswaran

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negeri Tamil Nadu, India berpotensi memperkukuh kerjasama dalam bidang arkib, sejarah dan dokumentasi warisan menerusi pertukaran ilmu serta hubungan rentas budaya antara kedua-dua pihak.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj berkata lawatan kerja beliau ke Tamil Nadu Archives and Historical Research di Chennai baru-baru ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Malaysia dan negeri berkenaan, khususnya dalam bidang arkib, sejarah, dokumentasi warisan dan pembangunan kefahaman masyarakat.

Beliau berkata lawatan ke institusi arkib rasmi Kerajaan Tamil Nadu itu memberi peluang untuk memahami peranan arkib sebagai pusat ilmu, memori negara dan khazanah warisan sesuatu masyarakat.

“Peranan arkib amat penting dalam menjaga rekod negara, dokumen rasmi kerajaan dan warisan bertulis sebagai rujukan generasi hari ini serta masa depan.

“Arkib bukan tempat yang lama atau membosankan, sebaliknya pusat ilmu yang membantu kita memahami asal-usul, budaya, bahasa dan identiti sesuatu masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lawatan itu berkaitan rapat dengan peranan Kementerian Perpaduan Negara kerana Arkib Negara Malaysia berada di bawah seliaan kementerian berkenaan.

Yuneswaran turut menegaskan golongan muda perlu melihat sejarah bukan sekadar cerita masa lepas, sebaliknya sebagai panduan untuk membina masa depan yang lebih yakin dan berteraskan identiti serta nilai budaya masing-masing.

Tamil Nadu Archives and Historical Research menyimpan pelbagai rekod sejarah, dokumen kerajaan, manuskrip, rekod tanah, gazet dan bahan penyelidikan berkaitan Tamil Nadu serta bekas Madras Presidency.

Institusi itu mempunyai sejarah sejak 1805 dan menempatkan pelbagai koleksi bernilai tinggi termasuk dokumen East India Company, rekod Dutch, Danish dan Persian serta Fort St. George Gazette.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement