SAMARKAN, UZBEKISTAN: Pemantapan kefahaman akidah bagi menangani ajaran sesat serta penerapan prinsip tadbir urus ketika krisis antara fokus kajian dua penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ditempatkan di Pusat Penyelidikan Saintifik Antarabangsa Imam al-Bukhari, di sini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Mohd Shahir Hashim dan Penolong Pengarah Darul Quran JAKIM, Mohamad Uzair Izham ditempatkan di situ untuk tempoh kira-kira dua bulan, iaitu dari 26 Sept hingga 30 Nov.
Semasa ditemui Bernama di pusat penyelidikan yang bersebelahan Kompleks Imam al-Bukhari di sini, Mohd Shahir berkata, penempatan itu inisiatif kerajaan dengan kerjasama JAKIM bagi memperkukuh kolaborasi penyelidikan serta memanfaatkan kepakaran institusi tersebut untuk Malaysia.
Beliau berkata, mereka diberi peluang menjalankan kajian bersama-sama pakar di pusat itu, khususnya dalam bidang pengajian manuskrip, hadis dan warisan keilmuan Imam al-Bukhari yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan ilmu Islam di Malaysia.
Mohd Shahir berkata, penyelidikannya yang bertajuk “Metodologi Imam al-Bukhari dalam Bab Iman Kitab Sahih al-Bukhari sebagai Kerangka Pengurusan Kefahaman Akidah di Malaysia” bertujuan meneliti pendekatan tokoh hadis itu dalam memperkukuh kefahaman akidah masyarakat.
Hasil kajian itu, menurut beliau, berpotensi dimanfaatkan dalam pengurusan kefahaman akidah di Malaysia, khususnya bagi menangani cabaran penyebaran ajaran sesat yang semakin sukar dibendung menerusi media sosial.
“Kita mahu melihat apa yang boleh dimanfaatkan daripada metodologi teologi Imam al-Bukhari sebab ia sebenarnya ada dalam bab-bab kitab hadis Sahih al-Bukhari, cuma belum diketengahkan untuk manfaat pengurusan akidah,” katanya.
Mohd Shahir berkata, penyelidikan itu juga membuka ruang kepada penerokaan bidang ilmu lain termasuk falak, muamalat dan kaligrafi yang menjadi antara kekuatan institusi pengajian Islam di Uzbekistan.
Beliau berkata, kerjasama itu tidak harus hanya tertumpu kepada institusi di Samarkand, sebaliknya boleh diperluas ke pusat pengajian dan penyelidikan di Tashkent serta Termez yang mempunyai kepakaran tersendiri.
Sementara itu, Mohamad Uzair menjalankan kajian bertajuk “Tadbir Urus Krisis Strategik dalam Tradisi Islam: Menjejaki Model Syura Menerusi Fiqh al-Tarjamah Imam al-Bukhari” yang meneliti konsep syura dalam tadbir urus krisis berdasarkan khazanah keilmuan Imam al-Bukhari.
Beliau berkata, kajian itu bertujuan meneroka bagaimana pendekatan dan pemikiran tokoh hadis tersebut boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh tadbir urus yang baik, khususnya ketika berhadapan dengan ketidakstabilan, peperangan serta krisis kesihatan seperti pandemik COVID-19.
“Kalau sebelum ini kita mungkin banyak melihat kepada Barat dari sudut ilmu pengetahuan dan sebagainya, jadi kita mahu sebagai Muslim dan Malaysia sebagai negara Islam mengambilnya daripada sumber dan asas kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang di Uzbekistan, mereka turut berpeluang meneliti manuskrip lama berkaitan karya Imam al-Bukhari dan Sunan al-Tirmidhi di Bukhara selain mengunjungi beberapa lokasi bersejarah Islam.
Ini termasuk kawasan makam Qusam bin Abbas di Samarkand serta tapak bersejarah berkaitan Tarekat Bahaouddin Naqshaband yang memperlihatkan kekayaan warisan keilmuan dan perkembangan Islam di rantau Asia Tengah.
“Uzbekistan bukan sekadar memelihara manuskrip atau teks lama, tetapi juga kesan dan tinggalan sejarah yang hingga hari ini masih boleh dilihat, termasuk ada yang berusia ratusan tahun,” katanya.
Mohamad Uzair berkata, kerjasama penyelidikan antara Malaysia dan Uzbekistan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam perkongsian kepakaran serta pengembangan ilmu dan pendidikan Islam.
Beliau berkata, Uzbekistan boleh memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam bidang pendidikan dan perbankan Islam manakala Malaysia berpeluang mendalami khazanah keilmuan serta warisan sejarah Islam yang kaya di negara Asia Tengah itu.
“Uzbekistan bukan sahaja terkenal dengan Imam al-Bukhari, malah melahirkan ramai ilmuwan Islam terkemuka seperti Imam al-Tirmidhi, Hakim al-Tirmidhi dan al-Khwarizmi yang sumbangan ilmu mereka memberikan manfaat kepada seluruh dunia,” katanya.
Mohamad Uzair berkata, mereka turut menyasarkan penghasilan artikel jurnal berdasarkan bidang kajian masing-masing yang diharapkan dapat menyumbang kepada pengembangan penyelidikan Islam dan memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dengan Uzbekistan.
-- BERNAMA