TANAH MERAH:Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada 9.00 malam ini bagi menempatkan 18 mangsa banjir daripada enam keluarga di sini, selepas beberapa kawasan mula dinaiki air susulan hujan lebat sejak semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat pemindahan yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang menempatkan 10 mangsa daripada empat keluarga, manakala PPS SK Kelewek pula menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.

Sementara itu mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Kelantan di Kuala Krai menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 21.46 meter (paras waspada 20 meter).

Selain itu tiga sungai turut mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.21 meter (waspada 7 meter), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada bacaan 22.13 meter (waspada 21.50 meter), manakala Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatatkan bacaan 57.23 meter (waspada 56 meter).

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir bakal berlaku mulai pukul 10 malam ini di Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai berikutan kenaikan paras air di Sungai Galas, Sungai Nal dan Sungai Pahi disebabkan hujan lebat.

Di Jajahan Gua Musang, kawasan yang terbabit adalah Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitar, manakala di Jajahan Kuala Krai pula ialah Kampung Bedal; Kampung Bukit Sireh; Taman Warisan; Kampung Kuala Pertang; Kampung Ngagoh dan Kampung Pahi.

Cuaca di Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat, namun tiada laluan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup kepada pengguna jalan raya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga esok di negeri-negeri di Pantai Timur, melibatkan Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai di Kelantan, dan Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Kuantan di Pahang.

-- BERNAMA