Dua projek naik taraf jalan berimpak tinggi dilaksanakan di Johor dengan nilai RM236.64 juta

Ahmad berkata naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang bermula pada 3 Dis lepas dan dijangka siap pada 2 Dis 2028 membabitkan laluan sepanjang tujuh kilometer. - Bernama
JOHOR BAHRU: Dua projek naik taraf jalan raya berimpak tinggi yang dilaksanakan di Johor dengan nilai RM236.64 juta dilihat akan memudahkan urusan harian pengguna, sekali gus melancarkan perhubungan bagi lokasi terlibat.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dua projek berkenaan adalah naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang dengan nilai RM174.53 juta dan pembinaan baharu Jalan Kampung Gembut ke Kampung Teluk Baharu di Sedili Besar, Kota Tinggi dengan nilai RM62.11 juta.
Beliau berkata naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang bermula pada 3 Dis lepas dan dijangka siap pada 2 Dis 2028 membabitkan laluan sepanjang tujuh kilometer (km) di persimpangan bertingkat Perling hingga ke susur turun Lebuhraya Utara Selatan di Pasir Gudang.
"Naik taraf ini merangkumi kerja meningkatkan kapasiti daripada empat lorong kepada enam lorong dua hala melibatkan koridor industri utama dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
"Pembinaan baharu jalan di Kota Tinggi pula melibatkan jalan sepanjang 3.1km serta sebuah jambatan sepanjang 320 meter merentasi Sungai Sedili Besar, sekali gus sebagai laluan alternatif yang lebih selamat serta efisien kepada penduduk setempat," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dua Surat Setuju Terima (SST) Pembinaan Infrastruktur Berimpak Tinggi di Johor kepada kontraktor membabitkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahmad berkata pembinaan jalan itu (di Kota Tinggi) akan bermula pada 17 Dis depan dan dijadualkan siap pada 16 Dis 2028 yang mampu mengurangkan masa 45 minit sebelum ini kepada hanya 15 minit, selain mengurangkan risiko pada laluan sedia ada, iaitu jalan ladang yang sempit.
"Berkenaan dengan SST di seluruh negara pula, sehingga 1 Dis lepas ia membabitkan 54 projek dengan nilai keseluruhan RM2.96 bilion membabitkan 17 projek di bawah KKR dan 36 lagi di bawah KKDW," katanya.
Sementara itu, ketika mengulas berkenaan projek sakit di negara itu, KKR telah mengenal pasti aspek pengurusan projek dan pengurusan kewangan sebagai punca, dengan kadar 75 peratus berbanding punca lain yang terpencil.
"Walaupun hanya lima peratus dikesan sebagai projek sakit tetapi pihak KKR mengambil serius dengan pendekatan tegas kepada kontraktor yang gagal mematuhi jadual dan kerja standard. Surat amaran akan dikeluarkan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


