SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun, kedua-duanya rakyat Malaysia, kerana cuba menyeludup dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 10 kilogram.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$203,000 (kira-kira RM649,000) dan boleh digunakan oleh 1,450 penagih selama seminggu.
Menurut agensi itu, kedua-duanya yang menunggang motosikal berdaftar Malaysia ditahan apabila tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 15 Sept, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Sasaran Bersepadu ICA.
“Ketika pemeriksaan, pegawai ICA menemukan empat berkas bahan sayuran dipercayai dadah terkawal di bawah tempat duduk motosikal.
"Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai pengesanan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut, menemui enam lagi berkas bahan sayuran yang dipercayai dadah terkawal dalam beg sandang hitam pada palang motosikal," kata ICA dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut ICA, bungkusan yang dirampas itu didapati mengandungi sejumlah 10,164 gram ganja.
"Siasatan sedang dijalankan. Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mereka yang mengimport atau mengeksport dari Singapura lebih 500 gram ganja boleh berdepan hukuman mati," tambah ICA.
-- BERNAMA