Hasrat dua sahabat baik untuk pergi ke pekan Sungai Petani untuk membeli barangan persiapan sekolah bertukar tragedi apabila kedua-dua maut dalam kemalangan di Kilometer 96 Lebuh Raya Utara Selatan dari arah Gurun ke Sungai Petani.

Dalam kejadian kira jam 3.10 petang Khamis, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa Muhammad Naa'im Mohd Nasir, 17, dan Mohamad Zarul Iman Bakar, 16, gagal mengelak sebuah lori kontena yang berhenti di lorong kecemasan.

Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa terperosok di belakang lori manakala kedua-dua mangsa terpelanting ke tengah jalan.

Kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Shamsudin Mamat, mayat kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.

Polis kini telah mengambil keterangan pemandu lori dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.