KULAI: Dua orang kena tahan (OKT) warga negara Indonesia yang lolos semalam ketika dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, Tangkak berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, suspek pertama, Riki Rinaldi, 40, ditangkap di sebuah pondok di Kebun Sayur Sengkang, Jalan Felda Inas-Kulai pada jam 10.30 malam.

Manakala rakannya, Haji Samirudin, 36, ditahan pagi tadi kira-kira jam 10.40 pagi di sebuah pondok di kebun sayur Taman Saga, Jalan Felda Inas-Kulai.

"Tangkapan dibuat sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Risikan dan Operasi Ibu Pejabat Polis daerah Kulai, dibantu anggota Balai Polis Kulai.

"Kedua suspek disahkan dua individu OKT yang melarikan diri sewaktu dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, lebih kurang jam 11.20 pagi semalam.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, Riki Rinaldi direman empat hari bermula hari ini, manakala Haji Samirudin akan dipohon reman esok.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalaman.

Katanya, tindakan akan diambil, sekiranya berlaku perlanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

"Dua tahanan yang baru dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi telah melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke penjara Satelit Ledang pagi semalam.

"Kejadian berlaku kira-kira pada jam 10.50 pagi ketika kenderaan yang membawa suspek melalui Jalan Inas - Kulai.

"Suspek bertindak membuka gari dan menendang pintu belakang kenderaan seterusnya meloloskan diri ke dalam hutan berhampiran," katanya.