JELEBU: Dua maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang dekat Bukit Tangga, di sini malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu membabitkan dua kenderaan dan kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Seremban ke Kuala Klawang telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan penunggang motosikal yang datang dari arah Kuala Klawang menghala ke Seremban.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, salah seorang penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki dan penunggang motosikal, seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ujarnya, proses bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, Inspektor Nurshazleen Miswan di talian 019-7805252," katanya. - Sinar Harian