CHENNAI: Wartawan Astro AWANI, Umavathi Ramayah menerima Anugerah Prominent Journalist pada Malaysia’s Desam Media International Golden Icon Awards 2023 yang berlangsung di Chennai, India pada Sabtu.

Anugerah disampaikan Editor Nakkeeran Gopal. Gopal sebelum ini pernah mengegarkan India dengan membongkarkan kisah di sebalik penyeludup pokok cendana paling dikehendaki polis, Veerappan.

Malah beliau turut menjadi 'perantaraan' di antara kerajaan India dan Veerappan.

Turut menerima anugerah itu adalah pembaca berita Astro Seithigal. Sivaraj Lingaraj yang dipilih bagi kategori Feel Good Newsreader.

Sivaraj merupakan satu-satunya pembaca berita yang terpilih bagi mewakili Malaysia.

Umavathi dan Sivaraj adalah antara 15 penerima dari Malaysia yang menerima anugerah yang diadakan dengan kerjasama MIC.

Pemilihan adalah berdasarkan pembabitan wakil media yang aktif dalam menghasilkan laporan bersifat kemasyarakatan yang mendorong kepada perbahasan awam dan perubahan positif kepada dunia kewartawanan.

Sementara itu, pengasas Desam Media, Gunalan Maniam memberitahu, selain 15 wakil media dari Malaysia, pengamal media dari India dan mereka yang menyumbangkan kepada dunia keusahawanan serta kesenian juga diberi anugerah pada majlis tersebut.

"Anugerah kepada wartawan ini adalah sebagai menghargai peranan dan jasa pengamal media dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat," katanya pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri Konsulat Malaysia di Chennai Saravana Kumar Kumaravasagam, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, serta beberapa tokoh korporat dan artis India.

Gunalan memberitahu, disebabkan kekangan logistik, pihaknya tidak dapat membawa kesemua wakil media yang dicalonkan bagi setiap kategori.

"Justeru, setelah juri membuat pemilihan, kami memutuskan untuk hanya membawa pemenang sahaja," tambahnya lagi.

Sebanyak 15 kategori dipertandingkan melibatkan semua platform termasuk media cetak, radio, televisyen, portal dan multimedia.