SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2026 Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.
Kehadiran beliau merupakan penampilan pertama dalam acara parti sejak pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu.
Negarawan berusia 101 tahun itu tiba pada jam 11.37 pagi, sekali gus menarik perhatian perwakilan dan pemerhati politik yang mengikuti perhimpunan berkenaan.
Beliau yang masih menggunakan kerusi roda dilihat meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) serta perwakilan yang hadir.
Sebelum menghadiri perhimpunan itu, Dr Mahathir dipercayai menziarahi pusara isterinya di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, menyaksikan Dr Mahathir kehilangan teman hidup yang mendampinginya selama 70 tahun sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.
Susulan pemergian itu, Dr Mahathir turut dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemerhatian.
Pada 26 Oktober lalu, beliau tidak dapat menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berikutan keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan.
Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika itu berkata bapanya telah menyiapkan teks ucapan dan berhasrat menyampaikannya sendiri, namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.
Mokhzani kemudian membacakan ucapan itu bagi pihak bapanya pada forum berkenaan.
Penampilan Dr Mahathir pada PAT Pejuang kali ini turut mendapat perhatian memandangkan ia merupakan penampilan pertama beliau dalam acara parti sejak pemergian Tun Hasmah. -Sinar Harian