Dua warga Singapura yang dilaporkan sesat di Gunung Pulai sejak Isnin lalu, ditemui pagi ini ketika pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membuat tinjauan melalui udara.

Menurut Ketua Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Khairi Zainudin, kedua-dua mangsa yang selamat itu ditemui di Lembaga Pembekalan Awam Singapura (PUB) di Loji Air Gunung Pulai Empangan Ulu Choh, jam 11.24 pagi tadi.

Jelasnya, jarak penemuan mangsa dari lokasi pendakian, kira-kira 50 kilometer.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut.

Dua sahabat berjaya ditemui.

Isnin lalu, mereka dipercayai sesat di hutan Gunung Pulai dan dilaporkan hilang pada jam 5.55 petang.

Ia berdasarkan maklumat melalui talian 999 menyatakan terdapat seorang lelaki hilang di hutan Gunung Pulai, Kulai petang Isnin lalu.

Maklumat kedua-dua mangsa itu diterima dari keluarga pendaki gunung berkenaan.

Mangsa kali terakhir dihubungi pada jam 10 malam, Isnin lalu dan operasi menyelamat dilakukan sehingga 10 pagi Khamis.

SAR membabitkan JBPM, PDRM dan APM.