BAGAN SERAI: Dua warga Thailand parah manakala seorang lagi lelaki tempatan cedera dalam nahas yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 178.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, tiga mangsa tersebut menaiki kenderaan jenis Honda Civic.

Katanya lagi, dua kenderaan lain yang terbabit ialah Perodua Myvi dan lori jenis Isuzu.

"Dua mangsa warga Thailand iaitu pemandu, Saifud-Deen Esor, 34, parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri, mangsa wanita iaitu penumpang belakang, Hadibah Dooneedae, juga parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri.

"Manakala penumpang hadapan kereta itu, Mohamad Amin Awang, 28, yang beralamat di Tumpat, Kelantan pula cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mazuki berkata, bagaimanapun pemandu Perodua Myvi, dan lori beserta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan itu datang dari arah Taiping menghala Pulau Pinang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi yang berada di depan telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri.

"Kemudiannya lori yang datang dari arah belakang sempat menghentikan kenderaan daripada berlanggar.

"Namun tiba-tiba datang Honda Civic dari arah belakang yang tidak sempat mengelak dan hilang kawalan lalu berlanggar bahagian belakang lori itu.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut, dua orang mangsa dari Honda Civic cedera parah dan seorang cedera ringan," katanya lagi.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar dengan menaiki ambulans untuk rawatan susulan.

"Punca kemalangan disebabkan kereta jenis Honda Civic itu gagal kawal kenderaan dan melanggar lori di bahagian belakang," katanya.

Menurutnya lagi, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.