KUANTAN: 'Duit last ayah bagi 11/5/20, al-Fatihah.'

Demikian tulisan tertera pada sekeping wang kertas RM50 yang diperoleh seorang pekerja swasta di sini pada Isnin.

Mohd Azfarul Zainol Akmar, 35, atau lebih dikenali Tuah Lim membuat perkongsian di Facebook miliknya pada Selasa untuk mencari pemilik wang tersebut.

Perkongsian tersebut tular hingga mendapat 3,300 tanda suka, 5,400 perkongsian dan 148 komen serta mendapat simpati netizen yang turut berharap pemilik wang itu dapat ditemui.

Menurutnya, duit itu diperoleh ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Gambang kira-kira jam 4.15 petang.

"Pada mulanya tidak sedar, apabila sampai di rumah ketika keluarkan duit, baru ternampak ayat pada wang kertas RM50 tersebut.

"Terus saya rasa terharu dan sedih bila terkenangkan mungkin pemilik duit ini terpaksa gunakan walaupun ia amat bermakna dan punya nilai sentimental, kenangan terakhir bersama ayahnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, buat masa ini, dia berharap pemilik wang tersebut dapat ditemui kerana sedar ia satu kenangan berharga.

"Saya pun tidak akan guna duit ini selagi pemiliknya tidak ditemui, itu janji saya," jelasnya. - Sinar Harian