Ahli Parlimen Bakri itu berkata, pada suatu ketika dahulu, beliau berpendapat jika seseorang wanita hendak menceburi dalam bidang politik, dia harus berkahwin dengan seorang ahli politik terdahulu untuk mendapat peluang.
"Ini episod yang memalukan (bagi saya). Ketika itu, saya tahu politik penting demi kepentingan negara. Saya pula membesar di sebuah pekan kecil, maka saya fikir, biarlah saya berkahwin dengan seorang ahli politik.
"Masa itu wanita masih kurang menyerlah. Hanya selepas itu saya sedar yang wanita boleh membawa perubahan secara sendiri," katanya dalam satu rancangan temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.
Bee Yin berkata, wanita harus berani dan yakin diri untuk menjadi ejen perubahan dalam politik.
"Tidak semestinya seseorang wanita itu harus menjadi anak perempuan kepada ahli politik atau berkahwin dengan ahli politik sahaja.
"Kita mampu membawa perubahan dengan prinsip dan tindakan yang kita perjuangkan. Jadi, itu adalah inspirasi kita sebagai wanita," kata wakil rakyat berusia 35 tahun itu.
Wanita boleh jadi ejen perubahan dalam politik - Bee Yin
Bee Yin menjadi wakil rakyat pada usia 30 tahun apabila memenangi kerusi DUN Damansara Utama di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Pengarah Pelajaran Politik Wanita DAP Selangor dan juga Naib Pengerusi Pemuda Pakatan Harapan.
Sebelum berkecimpung dalam arena politik, beliau menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan lulus dengan Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Kimia di bawah biasiswa Petronas, sebelum menyambung Sarjana Falsafahnya di Cambridge University.
Yeo Bee Yin, dari estet ke Cambridge, dari ADUN ke Parlimen