IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 antara lain menaikkan jumlah penalti dan pembatalan lesen kepada penternak yang gagal mematuhi undang-undang dalam enakmen itu.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju tanpa pindaan terhadap fasal-fasal pindaan yang dicadangkan.

Terdahulu, seramai 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut iaitu sembilan dari pihak kerajaan dan 13 mewakili pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika menggulung RUU itu berkata proses peralihan kaedah penternakan unggas secara konvensional iaitu sistem reban terbuka kepada sistem reban tertutup dijangka dilaksana sepenuhnya menjelang 9 Dis 2025.

"Sehingga kini, sebanyak 39 peratus iaitu 203 ladang daripada 516 ladang yang dilesenkan telahpun beralih kepada sistem reban tertutup," katanya.

Mohd Zolkafly berkata RUU Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 hanya dikuatkuasakan di dalam kawasan ladang ternakan unggas dan tidak meliputi luar kawasan operasi ladang.

"Jika berlaku kacau ganggu di luar kawasan seperti penempatan awam dan pelancongan, pihak berkuasa veterinar akan menjalankan siasatan mengenal pasti punca atau sumber kehadiran lalat dari ladang-ladang ternakan unggas yang berhampiran,".

"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat bukti bahawa ladang terbabit melanggar peraturan enakmen dengan membenarkan pembiakan lalat berlaku di ladang unggas," katanya.

Berkenaan kacau ganggu lalat di kawasan kediaman, beliau berkata bagi tujuan pelesenan ladang unggas di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), ladang-ladang unggas baharu yang akan diwujudkan perlu mematuhi syarat nyata tanah yang ditentukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

Katanya, JPV juga telah mewujudkan pasukan petugas untuk mengambil tindakan terhadap aduan dan pelanggaran kesalahan berulang yang dilakukan oleh pengusaha ladang unggas.

"Tindakan kompaun dan denda boleh diambil selain pembatalan lesen dan penutupan terhadap ladang yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA