KOTA KINABALU: Agensi dan jabatan yang bertanggungjawab di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah akan dipantau secara agresif bagi memastikan penyampaian mereka memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Pembantu menterinya, Datuk Robert Tawik berkata, ia melibatkan agensi-agensi utiliti seperti bekalan air, elektrik dan perkhidmatan pembentungan.

Malah beliau menegaskan, kerjasama lebih erat di antara Kerajaan Persekutuan serta kementerian yang berkaitan di peringkat negeri akan dirangka lebih rapi bagi memastikan kementerian itu mampu mencapai sasaran ditetapkan pada tahun hadapan.

"Pemantauan yang lebih agresif akan diperkasakan agar membolehkan pengawalan lebih ketat ke atas jabatan-jabatan dan agensi dibawah kementerian ini.

"Keberkesanan penyampaian utiliti seperti bekalan air, perkhidmatan pembentungan dan bekalan elektrik sentiasa dalam perhatian serius agar menemui keperluan negeri. Kerjasama lebih erat akan dirangka lebih rapi bersama Kerajaan Persekutuan serta kementerian-kementerian negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Dalam pada itu, Robert turut berkata peruntukan sebanyak RM1.16 bilion daripada jumlah keseluruhan belanjawan yang disalurkan kepada kementeriannya pada tahun hadapan dijangka meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu dari sudut aspek jalan raya, sistem bekalan air, perkhidmatan pembentungan, dan sistem pengangkutan di negeri tersebut.

"Dalam Bajet tahun 2023 ini, kerajaan negeri telah mencadangkan anggaran perbelanjaan negeri adalah sebanyak RM5.138 bilion.

"Daripada jumlah tersebut, Kementerian Kerja Raya bakal menerima peruntukan sebanyak RM1.16 bilion yang melibatkan program pembangunan infrastruktur yang meliputi program jalan raya, sistem bekalan air dan pembentungan serta sistem pengangkutan yang pastinya akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini," tambahnya.