MALAYSIA
DUN Sabah luluskan RUU Perbekalan Tambahan lebih RM1 bilion

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun itu bagi melancarkan operasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga akhir tahun ini sebelum DUN Sabah ke-16 bubar selewat-selewatnya secara sendiri pada 11 Nov. - BERNAMA
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 berjumlah RM1.18 bilion hari ini.
RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun itu bagi melancarkan operasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga akhir tahun ini sebelum DUN Sabah ke-16 bubar selewat-selewatnya secara sendiri pada 11 Nov.
RUU itu diluluskan dengan suara terbanyak selepas dibahaskan 26 Ahli DUN Sabah.
Masidi ketika membentang RUU itu berkata peruntukan tambahan berkenaan terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan iaitu Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun berjumlah RM600 juta, perbelanjaan pentadbiran RM204 juta dan perbelanjaan operasi RM195 juta."Selain itu perbelanjaan bagi pemberian dalam negeri berjumlah RM84 juta, perbelanjaan bagi tujuan pelaburan RM54.4 juta dan peruntukan khas sebanyak RM50.7 juta," katanya.
Masidi berkata Kementerian Kewangan diperuntukkan tambahan RM789.1 juta, merangkumi RM600 juta untuk Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun dan daripada jumlah itu RM250 juta sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan tidak melibatkan aliran tunai.
Selain itu, sebanyak RM185.5 juta untuk perbelanjaan perkhidmatan am perbendaharaan dan RM3.6 juta perbelanjaan operasi Kementerian Kewangan manakala RM150 juta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun Pengendalian dan penyenggaraan jalan raya serta jambatan untuk melaksanakan projek penyelenggaraan jalan raya di seluruh Sabah.
"Sejumlah RM200 juta pula bagi Caruman Kepada Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri, Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES) serta pembinaan dan pembaikan infrastruktur seperti air, jalan raya dan utiliti," katanya.
Masidi berkata RM185.5 juta bagi perkhidmatan am perbendaharaan melibatkan RM54.4 juta untuk pelaburan ekuiti, RM89.1 juta untuk projek infrastruktur dan RM30 juta pemberian dalam negeri diperuntukkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Peruntukan tambahan kepada Kementerian Kerja Raya negeri sebanyak RM147.6 juta, Jabatan Ketua Menteri RM94.4 juta, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM55.7 juta, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan RM25.9 juta serta Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat RM16.2 juta.
Masidi berkata perbelanjaan pembangunan juga memerlukan peruntukan tambahan lebih RM416 juta melibatkan 83 kepala perbelanjaan di bawah 10 buah kementerian dan daripada jumlah itu, RM224.5 juta diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Negeri manakala RM188.5 juta bagi Pinjaman Persekutuan dan baki RM3.5 juta bagi Bayaran Balik Persekutuan.
"Agihan terbesar di bawah anggaran tambahan pembangunan sebanyak RM254.9 juta diperuntukkankepada Kementerian Kerja Raya Sabah," katanya dan memaklumkan daripada jumlah itu, RM187.5 juta bagi menampung projek di bawah Pinjaman Persekutuan.
Peruntukan tambahan kedua terbesar RM82.5 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri, Jabatan Ketua Menteri disyorkan RM38.5 juta, manakala Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri sebanyak RM17.4 juta.
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah menerima RM7.7 juta, Kementerian Belia dan Sukan Sabah RM4.84 juta manakala Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat disyor sebanyak RM4.6 juta.
"Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar diperuntukkan sebanyak RM2.9 jutadan sejumlah RM2.3 juta disyor kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan," katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami